Assalamualaikum & salam hormat buat semua,
Esok rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidil Adha, yang merupakan salah satu hari kebesaran bagi umat Islam seluruh dunia. Pada hari yang cukup penting lagi dipenuhi sejarah ini, seluruh umat Islam bertakbir, bertasbih, bertahmid, dan turut beringat-ingat tentang kisah yang menjadi teladan buat kita semua: bagaimana Nabi Ismail a.s. telah dengan rela hati meminta ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. mengikuti perintah Allah s.w.t. agar dia dikorbankan.
Kita semua ingat bagaimana di saat-saat akhir, Allah s.w.t. telah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor biri-biri, yang akhirnya menjadi korban. Tetapi, apa yang harus kita ingat juga ialah pengajaran: betapa peritnya perasaan si bapa, Nabi Ibrahim a.s., yang harus mengetepikan naluri kebapaannya yang terlalu mengasihi anaknya demi mengerjakan perintah Tuhan. Pengorbanan inilah – untuk mengetepikan perasaan sendiri demi sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri – yang harus kita ingati dan kita amalkan. Subhanallah.
Janganlah kita asyik memikirkan diri sendiri hingga melupakan perintah-perintah Allah untuk berbuat baik sesama kita, untuk menegakkan keadilan dan menentang kebatilan.
Marilah kita mengambil iktibar dari kisah-kisah ini, yang sudah dan yang sedang berlaku. Marilah kita menanamkan semangat, perteguhkan iktikad, dan kembali beringat bahawa negara Malaysia tercinta ini masih boleh kita perbaiki. Tapi ianya akan memakan masa, dipenuhi ranjau sepanjang jalan, dan memerlukan banyak pengorbanan. Kita harus bersabar dengan segala dugaan, berteduh dengan iman akibat setiap kehilangan, dan berpasakkan idealisme perjuangan – barulah kita akan mampu mengecapi kejayaan yang kita impikan.
Akhir kata, kepada muslimin dan muslimat, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Buat rakyat Malaysia amnya, jika ada yang ingin balik kampung, berhati-hati lah di jalan raya.
No comments:
Post a Comment